Rukun Negara
Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
Objektif Rukun Negara
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
- Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
- Memelihara cara hidup demokratik
- Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
- Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
- Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden
Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa
dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada
Tuhan. Melalui kepercayaan beragama yang betul akan menjadikan bangsa
dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi
Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh
diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam
Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara
atas alasan agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal
Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada
Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan
keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari
betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran
agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama
dalam Rukun Negara.
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia
mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras
dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut
Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang
Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka
Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang
perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa
setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan
ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat
negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang
memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat
setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Keluhuran Perlembagaan
Prinsip
ini menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan
keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah
sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan
kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka
sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki
menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar
belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara
telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di
negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang
tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu
atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan
kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan
bagi segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan,
kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.
Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan
diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama
tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi
semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada
Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan.
Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan
stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi
kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan
undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman,
stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan
anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa
sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa
selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak
melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin
oleh Perlembagaan Negara.
Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip
ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku
seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang
bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan
Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan
santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam
konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum
di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi
membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta
bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang
harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau
perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu
golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan
yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan
bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat
sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa
dan nilai-nilai murni.
No comments:
Post a Comment